Tuesday, December 25, 2012

Balik kampung

Aku memang suka sangat balik kampung. Biasanya aku dan mak balik kampung masa cuti sekolah. Ayah tak ikut sebab kaki ayah lumpuh sebelah. Lagipun, ayah mengajar budak-budak mengaji. Ayah masih boleh berjalan tapi terpaksa menggunakan tongkat. Kitorang balik kampung naik bas. Tukar beberapa kali pulak tu. Kena pulak ayah tak boleh berdiri lama-lama. Jadi susahlah kalau naik bas kan?

Dari rumah aku di Flat Pandamaran, pagi-pagi dalam pukul 9 kitorang dah jalan kaki menuju ke perhentian bas sebelah balai bomba - depan Sekolah Menengah Perempuan Raja Zarina yang terletak kira-kira 15 minit dari rumah aku. Naik bas Sri Jaya sampai ke Perhentian Bas Klang (di Kuala Lmpur). Masa tu, bas pun belum ada air-con lagi. Sampai di KL, kitorang naik pulak lagi satu bas Sri Jaya. Kali ni yang menuju ke Hentian Bas Pekeliling.

Kat situ, ada dua pilihan bas menuju ke kampung Budu. Satu namanya Bas LinSiong. Dari KL menuju ke Kuala Kubu Baru, melalui jalan Kuala Kubu-Raub dan berakhir di Kuala Lipis. Tapi kitorang tak naik bas ni sebab mak tahu, laluan Kuala Kubu-Raub yang bengkang-bengkok macam ular kena palu bertalu-talu tu buat aku jadi mabuk sampai muntah-muntah.

Kitorang akan naik bas Pahang Omnibus Co yang melalui Bentong dan berakhir di pekan Raub. Dari Raub, kena tukar lagi satu bas yang menuju ke Kuala Lipis. Bas ni bas berhenti-henti. Dari Bentong sampailah ke Raub asal ada orang tekan loceng untuk turun atau orang tahan untuk naik, bas ini akan berhenti. Sebab tulah dari KL nak sampai ke Raub mahu dekat 3 jam jugak lah. Walaupun bas ni takde air-con tapi cukup sejuk terutamanya dari Bentong-Raub sebab melalui bukit-bukau.

Sampai kat Raub, biasanya kitorang akan berhenti makan sekejap sebelum menaiki bas seterusnya - bas dari Raub-Kuala Lipis. Tapi kitorang akan turun kat pekan kecil Benta sebab situ dah dekat dengan kampung. Aku cukup suka kalau kitorang balik kampung hari Sabtu sebab hari minggu, di Benta ada pekan sehari. Alah, macam pasar malam tapi waktu siang aja - dari pagi sampai petang. Tapi hari Sabtu sebelah petang, orang dah mula berniaga sebab kebanyakannya datang dari jauh dan akan bermalam di situ.

Macam-macam ada kat Pekan Sari Benta ni. Daripada sayuran kampung dan ulam, kuih-muih tradisional sampailah kepada ikan sungai seperti ikan patin. Aku punya 'favourite'? Lemang Wan Chu Jamaliah dan pucuk keladi. Lemang Wan Chu Jamaliah memang yang terbaik. Pucuk keladi tu pulak masak dengan asam tempoyak. Memang sedap sangat-sangat. Satu lagi aku suka pergi sini sebab dapat jumpa sedara-mara. Mak akan kenalkan kat aku, sipolan ni sedara belah siapa, pangkat apa, dan sebagainya. Biasanya mak akan beli ikan dan sayur serba sedikit sebab kalau beli banyak pun, rumah Aki bukannya ada peti sejuk. Bekalan elektrik pun tak ada!

Dah selesai urusan kat Pekan Sari Benta, kitorang akan naik bas Lin Siong jugak - Benta-Jerantut. Tapi Kampung Budu dah tak jauh dari sini. 3 batu aja jauhnya. Bas ni sejam sekali kalau tak silap aku. Biasanya kitorang akan turun di satu tempat dalam Kampung Budu yang dinamakan Lebak. Selalunya, kitorang sampai kat sini dalam pukul 5 petang.

Kat sini, barulah bermula 'adventure' sebenar aku balik kampung dengan mak!




No comments:

Post a Comment